Pecahan (Bahasa Inggeris: fraction dari Bahasa Latin fractus,
"dipecahkan") ialah nombor yang mewakili sebahagian daripada keseluruhan atau
sekumpulan benda.
Pecahan terawal adalah salingan
integer-integer yang menggunakan simbol mewakili satu perdua, satu pertiga,
satu perempat, dan seterusnya.
Dalam perkembangan seterusnya, pecahan
"kasar" atau pecahan biasa telah dibangunkan dan ia masih digunakan
sehingga hari ini. Pecahan ini terdiri daripada satu pengangka dan satu penyebut,
pengangka mewakili beberapa bahagian sama dan penyebut menunjukkan berapa
banyak bahagian-bahagian tersebut yang membentuk keseluruhan. Sebagai contoh
dalam pecahan 3/4,pengangka, 3, menunjukkan 3 bahagian sama,
sementara penyebut, 4, menunjukkan yang 4 bahagian yang membentuk keseluruhan.
Kemudian, pecahan perpuluhan pula diperkenalkan, yang kini hanya dikenali
sebagai "perpuluhan". Penyebutnya adalah nombor asas sepuluh yang
dikuasakan dengan nombor yang ditentukan oleh bilangan digit di kanan titik
perpuluhan. Jadi nombor perpuluhan 0.75 mempunyai pengangka 75 dan penyebut 10 kuasa 2 (kerana terdapat 2 digit di kanan
titik perpuluhan). Jadi penyebutnya ialah 100.
Jenis pecahan ketiga yang sering digunakan
ialah "peratusan", yang menggunakan penyebut 100 sahaja. Jadi, 75
peratus bermaksud 75/100.
Dalam matematik, set untuk semua pecahan (kasar)
dipanggil set nombor nisbah dan diwakili simbol Q.
Penggunaan lain pecahan ialah untuk
menunjukkan nisbah dan pembahagian. Jadi, pecahan 3/4 juga digunakan untuk
menunjukkan nisbah 3:4 (tiga kepada empat) dan pembahagian 3 ÷ 4 (tiga
dibahagikan dengan empat).
No comments:
Post a Comment